Aduan Penyalahgunaan Kuasa

ein Bild

Wednesday, August 13, 2008

Tugas guru

Tugas Guru


Assalamualaikum dan Salam sejahtera...

Catatan seorang guru muda yang tempoh perkhidmatannya masih pendek dan pengalamannya masih cetek. Menjelang Januari pada setiap tahun, di kala para ibu bapa sedang sibuk menjelajah pasaraya dan pasar malam membuat perbandingan harga pakaian yang akan dipakai oleh anak kesayangan di kala itu juga kantung wang pun makin susut dan susut. Hari ini dapat bereskan urusan pakaian, esok pula kena fikirkan hal pembelian buku dan alat tulis, lusa pula kena fikirkan pembayaran yuran tahunan dan akan datang kena ikhtiar dan tambah usaha untuk tingkatkan pendapatan kerana kos sara hidup semakin meningkat.

Itu soal ibu bapa... para guru juga bukan sedikit hal yang perlu difikir dan dilaksanakan. Awal tahun inilah segala perkara perlu disambung dan diteruskan. Bagi guru yang dipertanggungjawabkan mengendali sesebuah kelas, inilah masanya semua dokumen dan fail perlu dikemaskini. Banyak masa telah diperuntukkan untuk menyelesaikan dokumen-dokumen yang lebih menyerupai tugasan seorang kerani. Buku rekod kedatangan pelajar perlu dilengkapkan. Semua maklumat pelajar perlu ditulis dengan betul dan berhati-hati. Sebarang kesilapan tidak boleh dipadam dengan pemadam cecair (liquid paper) tapi ia perlu dipotong dan ditulis semula pada tempat yang sesuai dan sepatutnya. Dalam buku itu juga terdapat rekod bayaran yuran, maklumat peribadi pelajar dan ibu bapa / penjaga dan rekod SPBT. Setiap hari ia diambil dan dihantar ke pejabat selepas membuat penandaan kedatangan pelajar. Telah menjadi rutin harian seorang guru yang bertanggungjawab menyelesaikan tugas ini selewat-lewatnya sebelum waktu ketiga.

Bagi guru yang dipertanggungjawabkan mengetuai sesuatu panitia mata pelajaran pula, fail panitia perlu diberes dan dikemaskini. Semua rancangan pengajaran tahunan dan rancangan tingkat prestasi perlu diperbaharui sesuai dengan takwim hari persekolahan yang telah ditetapkan. Perancangan kurikulum dan kokurikulum perlu selaras dan masuk akal. 13 fail telah diperuntukkan untuk kebanyakan maklumat yang sepatutnya ada dan formal. Bermula dengan hal surat menyurat keluar dan masuk sehinggalah kepada rancangan televisyen/radio pendidikan yang direkodkan secara berformat pada helaian minit. Semua fail didaftarkan dengan kod tertentu mengikut panitia mata pelajaran. Fail-fail ini penting terutamanya apabila sekolah menerima kunjungan jemaah nazir yang boleh datang pada bila-bila masa.

Bagi guru yang dipertanggungjawabkan dengan sukan pula sibuk dengan perancangan sukan tahunan. Masa inilah acara sukan giat dilaksanakan. Bermula dengan acara merentas desa diikuti dengan acara balapan dan padang seterusnya kejohanan sukan tahunan. Semuanya perlu dilaksanakan secepat yang boleh untuk menghasilkan ruang kepada sesi akademik agar berlangsung tanpa gangguan acara sukan pada bulan-bulan yang berikutnya. Dalam acara sukan yang melibatkann sesi latihan, saringan dan pertandingan, semua guru diberikan tugas tertentu yang sepatutnya dijalankan secara profesional dan adil. Ada yang ditugaskan menjaga garisan/balapan, hakim setiap acara, hakim pelepas dan sebagainya termasuklah penyediaan tempat, peralatan, teknikal.

Inilah sebahagian tugas guru di bulan pertama setiap tahun. Semua masa yang ada dalam setiap hari di bulan ini hampir hilang walaupun belum diambil kira waktu mengajar di dalam kelas dan mesyuarat yang perlu dihadiri. Semua itu adalah catatan realiti penulis yang sememangnya ditugaskan mengendali sebuah kelas, mengetuai sebuah panitia mata pelajaran, ketua guru penasihat kelab fizik, ahli jawatankuasa sukan, ahli jawatankuasa akademik dan seorang suami serta bapa.
sumber:http://gurumalaysia.wetpaint.com/page/Tugas+Guru?t=anon

No comments:

Powered By Blogger